MD Sohaimi (berdiri barisan kedua, empat dari kanan) bersama penerima sumbangan.
HM Digital

Kuantan: “Saya sudah tidak sabar mahu ke sekolah dengan memakai baju dan seluar baru,” kata murid tahun tiga, Mohd Danish Iqhfan Hamdan, 9, yang menerima sumbangan Yayasan Pahang (YP) sebanyak RM200 untuk membeli kelengkapan sekolah, kelmarin.

Dia yang tinggal di Sungai Lembing di sini, antara 350 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing yang menerima sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Mohd Danish Iqhfan berkata, dia sudah tidak sabar selain bersemangat untuk ke sekolah bertemu rakan selain berkenalan dengan rakan baru.

Menurutnya, dia bersyukur kerana menerima sumbangan itu yang dapat membantu meringankan beban ibu bapanya.

Seorang lagi penerima, Kasih Norjahnah Abdul Rahman, 13, dari FELDA Bukit Kuantan di sini, berkata, dia teruja selepas menerima sumbangan itu dan mahu mengajak ibunya membeli pakaian sekolah.

“Selepas menerima sumbangan saya berjanji pada ibu belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita menjadi juruterbang,” katanya.

Md Sohaimi berkata, RM70,000 diperuntukkan YP untuk membantu golongan tidak berkemampuan di kawasan DUN Sungai Lembing.

“Semua penerima murid dan pelajar dari 14 sekolah di DUN Sungai Lembing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 5:37 AM