Shahrilman (kiri) bersama ahli keluarga menerima bantuan.
HM Digital

Seremban: Team Cakna dianggotai 50 bekas ahli kelab motosikal menjayakan program Masih Ada Yang Sayang (MAYS) dengan menyalurkan bantuan pakaian seragam sekolah kepada keluarga miskin dan orang kurang upaya (OKU) sekitar daerah ini.

Ketua Team Cakna, Shahrilman Mohammad berkata, bantuan itu diberikan sempena sesi persekolahan 2018 yang akan bermula minggu depan.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah membantu 12 murid dan pelajar miskin serta OKU dengan memberikan pakaian seragam sekolah dan alat tulis.

“Kami turut menyerahkan wang saku antara RM100 hingga RM150 setiap seorang. Dana ini diperoleh menerusi sumbangan setiap ahli dan kami bersepakat membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan bagi membuat persiapan persekolahan anak mereka,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada dua keluarga miskin di Senawang,
di sini, semalam.

Shahrilman berkata, sebelum ini, mereka aktif menjayakan pelbagai aktiviti konvoi dan khidmat masyarakat, namun kini lebih fokus kepada program membantu anak yatim, OKU, asnaf serta pesakit terlantar.

Sementara itu, penerima sumbangan, Maznah Abdul Razak, 47, mengakui sumbangan diterima membantu meringankan bebannya, tambahan pula dia belum membuat persiapan untuk dua anaknya yang bersekolah di tahun tiga dan lima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 5:39 AM