PELAJAR pondok mencari barangan yang masih boleh digunakan selepas kebakaran. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KEBAKARAN Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, malam tadi menyebabkan kerugian lebih RM30,000 selepas 14 unit pondok pelajarnya musnah.

Mudirnya, Mohd Jalaluddin Asayuti, 49, berkata, kerugian itu merangkumi barangan pelajar yang musnah termasuk kitab dan pakaian.

Katanya, kesemua 24 pelajar lelaki termasuk seorang warga emas kini ditempatkan di bilik asrama di bangunan tingkat tiga.

"Bilik asrama berkenaan masih kosong dan boleh memuatkan sehingga 30 pelajar, jadi kita menempatkan mereka di situ.

"Alhamdulillah, semua selamat dan selepas ini kita akan memastikan penghuni yang terdiri daripada 110 pelajar lelaki, 45 pelajar perempuan dan 35 warga emas mengambil langkah berjaga-jaga supaya kejadian ini tidak berulang.

"Kita juga menyediakan alat pemadam api sebagai pencegahan awal sebelum pihak bomba tiba," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.


PELAJAR, Nik Mohd Nabil Nassir, 18, (kiri) dan Mohd Syahir Asri, 14, melihat kitab yang terbakar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Harian Metro melaporkan, kebakaran 7.45 malam tadi menyebabkan 14 unit pondok musnah.

Kejadian berlaku ketika semua penghuni sedang membaca Yasin di masjid.

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkan ke akaun bank Muamalat 03010002364711 atau Bank Simpanan Nasional 0355042000016161 atas nama Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir.

Berita berkaitan:

Nampak api ketika baca Yasin

14 pondok Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir musnah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 1:48 PM