A Rahim (duduk) berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan di UTC Pasir Gudang sambil disaksikan Aminuddin (dua dari kanan). FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


PUSAT Transformasi Bandar (UTC) ke-21 mula beroperasi hari ini di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang (KPBPG) dan bersedia menawarkan perkhidmatan kepada 420,000 penduduk di sekitar Pasir Gudang.

Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, UTC berkenaan dibangunkan dengan kos RM20juta.

Beliau berkata, ia dibangunkan dalam tempoh lapan minggu di bangunan KPBPG.

"Kewujudan UTC adalah sejajar dengan matlamat dan konsep memberikan perkhidmatan di bawah satu bumbung.

"Ia juga memudahkan penduduk setempat kerana sebelum ini mereka berurusan di UTC pertama di negeri ini terletak di pusat membeli-belah Galleria di Johor Bahru," katanya.

Aminuddin berkata, terdapat 13 agensi kerajaan beroperasi di UTC di Pasir Gudang.

Beliau berkata, ia termasuk klinik pergigian, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan TEKUN Nasional.

Menurutnya, agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor (Bahagian Perumahan ), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN).

"Pembangunan UTC diharap dapat memberi impak daripada segi perkhidmatan kepada penduduk Pasir Gudang, Masai dan Kota Tinggi.

"Keluasan UTC berkenaan adalah 44,487 meter persegi dan majlis perasmiannya dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri pada 25 Januari depan," katanya.

Aminuddin berkata, dua lagi UTC yang akan dibuka pada tahun depan termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, ia dijangka akan mula dibina dan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan.

"UTC di Selangor akan dibina di Shah Alam manakala di Pulau Pinang masih dalam proses penilaian lokasi yang strategik.

"Pembinaan UTC di Selangor dan Pulau Pinang itu kelak akan melengkapkan operasi UTC di semua negeri di negara ini.

"Proses pembinaan sesebuah UTC itu dijangka mengambil masa dalam tempoh 10 minggu dan tidak melebihi enam bulan," katanya pada sidang media di Majlis Pra Pelancaran UTC Pasir Gudang di KPBPG di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis, Pegawai Kewangan Negeri Johor, A Rahim Nin yang juga wakil rasmi kepada Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 1:32 PM