Penduduk beramai-ramai mengoca ikan. (Gambar kecil) Penduduk menunjukkan ikan yang ditangkap. FOTO Amran Yahya


SERAMAI 200 penduduk dari Kuala Pilah, Jempol dan Tampin tidak melepaskan peluang menjalankan aktiviti 'mengoca' ikan sebaik Empangan Bangkung, Juasseh, dibuka untuk pengairan air sawah, hari ini.

Mereka menunggu di kawasan itu seawal 8 pagi untuk menangkap ikan menggunakan peralatan tradisional secara beramai-ramai.

Sebaik empangan dibuka Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), peserta mulai turun ke Sungai Muar untuk mendapatkan habuan iaitu ikan puyu, sepat, haruan, lampam, tilapia, baung, sebarau dan udang galah.

Penduduk, Abdul Latif Othman, 57, berkata, aktiviti mengoca sudah dijalankan penduduk lebih 70 tahun lalu.

"Dapat dilihat hari ini, kami beramai-ramai membanjiri kawasan sebaik mengetahui Empangan Bangkung dibuka. Lebih menarik apabila peserta membawa peralatan tradisional seperti tangguk, tapis plastik dan jala," katanya.

Katanya, di kawasan lain aktiviti itu dikenali sebagai mengoca ikan namun di kampungnya dikenali sebagai 'lepas empangan'.

"Alhamdulillah, saya dapat menangkap 20 ekor ikan pelbagai jenis. Biarpun pada tahun lalu saya memperoleh 40 ekor ikan, ia sudah mencukupi," katanya yang tidak pernah ketinggalan mengikuti aktiviti itu sejak 20 tahun lalu.

Penduduk Kampung Terusan, Mohd Zamri Mohd Pilus, 52, berkata, peserta kurang meraih hasil tangkapan pada tahun ini namun aktiviti itu tetap meriah.

"Bagaikan pesta apabila kami berkumpul beramai-ramai untuk mengoca ikan. Penduduk menggunakan peralatan tradisional dan ia mengimbau kembali kehidupan nenek moyang," katanya.

Mohd Zamri berpendapat hasil tangkapan itu semakin berkurangan disebabkan faktor cuaca dan sebagainya.

"Jika lima tahun lalu saya boleh mengutip ikan sehingga 10 kilogram tetapi tahun ini satu kilogram pun sukar. Tetapi tidak mengapa asalkan aktiviti ini menyeronokkan," katanya ceria.

Menurutnya, untuk memperbanyakkan semula ikan di sungai itu pihak berkuasa perlu membuat perancangan rapi termasuk mengenakan larangan memancing.

Penduduk Taman Jemapoh, Mohd Hazry Abd Rahman, 25, berkata, dia berjaya memperoleh dua kilogram ikan iaitu haruan, lampam, tilapia dan puyu.

"Aktiviti sebegini menyeronokkan dan perlu dijadikan sebagai program yang lebih luas konsepnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 1:44 PM