KEADAAN rumah Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dipecah masuk oleh perompak dalam kejadian di Bukit Baru. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi


KEDIAMAN Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, dipecah masuk menyebabkan beliau kerugian lebih RM20,000, dalam kejadian di Bukit Baru, semalam.

Shamsul berkata, kejadian itu hanya disedarinya sebaik tiba dari Kuala Lumpur bersama keluarga pada 11.30 malam.

"Mengesyaki rumah dipecah masuk, saya kemudian memeriksa kediaman sebelum mendapati dua unit komputer riba, barang kemas milik isteri, empat jam tangan, dua beg sekolah anak serta tabung hilang.

"Mereka ini masuk ke dalam melalui bahagian belakang dengan memotong jeriji besi pada bahagian tingkap sebelum menyelongkar rumah," katanya.

Shamsul Iskandar berkata, susulan kejadian itu, beliau kemudian bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru, pada malam kejadian.

Beliau berkata, dia dimaklumkan bahawa kejadian itu adalah kes keempat di kawasan kejiranannya sepanjang Disember.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang segera bertindak dan menjalankan siasatan atas kejadian ini sehingga 5.30 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 8:37 PM