Banjir yang melanda RKT KESEDAR Jeram Tekoh, Gua Musang berikutan anak sungai melimpah akibat hujan lebat sejak 5 petang tadi. - Foto RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


SERAMAI 30 orang daripada lima keluarga di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, Gua Musang, terpaksa berpindah selepas dilanda banjir kilat 9 malam ini.

Penduduk terpaksa berpindah ke bukit berhampiran selepas air naik sehingga paras 0.3 meter berikutan anak sungai melimpah akibat hujan lebat sejak 5 petang tadi.

Norwati Ismail, 38, berkata, air naik terlalu cepat sehingga mereka tidak sempat memindahkan barang.

Katanya, dia sempat membawa keluar anak-anaknya dan berpindah ke bukit berhampiran.

"Kejadian banjir kilat ini adalah kali kedua selepas berlaku kali pertama pada awal November lalu.

"Banjir kilat ini tidak lama dan mungkin surut semula dalam tempoh antara dua hingga tiga jam apabila hujan berhenti,"katanya.

Mohd Khairul Said, 42, pula berkata, dia sekeluarga baru selesai menunaikan solat Isyak sebelum air dari anak sungai melimpah masuk ke dalam rumah.

"Kami terpaksa berdepan kerugian lebih besar kerana baru sahaja ganti perabot lama yang rosak ditenggelami air dalam banjir pada bulan lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 11:01 PM