MOHD Ridzuan yang memakai kostum Spiderman beramah mesra dengan murid tahun satu SK Sultan Sulaiman 1. FOTO Syafiq Ambak
MOHD Ridzuan yang memakai kostum Spiderman beramah mesra dengan murid tahun satu SK Sultan Sulaiman 1. FOTO Syafiq Ambak
Ahmad Rabiul Zulkifli


SEKOLAH Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu mengambil inisiatif mengupah `Spiderman' untuk beramah mesra dengan murid tahun satu yang memulakan sesi persekolahan mereka, hari ini.

Guru Besar SK Sultan Sulaiman 1 Mohamad Kabidi Mohamad berkata, pihaknya mengambil langkah sedemikian bagi menceriakan murid baru terbabit.

"Kami hanya ingin mereka berasa gembira berada di sekolah dan tidak tertekan, sebab itu pihak sekolah menjemput Spiderman untuk meluangkan masa dengan murid," katanya.

Menurutnya, inisiatif itu diambil selepas pihaknya mendapati ramai murid tahun satu yang menangis pada tahun lalu hingga memaksa ibu bapa menunggu di kelas bersama-sama anak mereka.

Katanya, pada tahun ini, pihaknya membuat percubaan bagi mengatasi masalah murid tahun satu yang menangis dan tidak mahu berenggang dengan ibu bapa di hari pertama persekolahan.

"Syukurlah kerana dengan kehadiran Spiderman didapati situasi seperti tahun lalu tidak berlaku.

"Seramai 230 murid tahun satu yang berdaftar di sekolah berasa teruja dengan kehadiran adiwira itu sekali gus dapat menceriakan mereka.

"Walaupun pada mulanya hanya sejam diperuntukkan untuk Spiderman bersama murid-murid tetapi melihat kegembiraan mereka dengan kehadiran adiwira itu menyebabkan pihak sekolah melanjutkan masa hingga dua jam untuk memastikan semua murid tahun satu gembira berada di sekolah.

"Paling penting ibu bapa juga memberi reaksi yang positif terhadap inisiatif pihak sekolah ini dan kami bercadang pada sesi tahun depan, kami akan menambah jumlah adiwira termasuk maskot rumah sukan sekolah," katanya.

Sementara itu, ‘Spiderman’ terbabit, Mohd Ridzuan Roslan, 22, berkata, dia pertama kali diberikan tugas oleh syarikatnya untuk memakai kostum adiwira berkenaan bagi menceriakan murid pada hari pertama persekolahan.

"Menceriakan murid tahun satu pada hari pertama persekolahan sebenarnya tugas yang agak berat kerana emosi mereka tidak menentu.

"Walaupun teruja untuk menjalankan tugas sebagai adiwira itu tetapi pada masa sama, saya berasa bimbang dengan penerimaan mereka terhadap kehadiran saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 4:43 PM