MUHAMMAD Affin menuruni tangga di SK Lepan Jaya, Gua Musang menggunakan kaki palsu.
HM Digital

Gua Musang: Rutin harian Mazuki Saat, 64, setiap pagi, sejak tiga tahun lalu mendukung cucunya yang kudung kaki dan berjalan 500 meter dari rumah mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya, Gua Musang.

Ia menjadi rutin selagi sesi persekolahan berlangsung kerana Muhammad Affin Abdullah, 10, murid istimewa yang dilahirkan tanpa kaki dan tiada tangan kiri.

Namun kelmarin, semuanya berubah apabila kanak-kanak itu menerima sepasang kaki palsu sumbangan ahli korporat dari Kuala Lumpur.

Mazuki berkata, dia terharu dan berterima kasih atas sumbangan itu yang mengubah kehidupan cucu kesayangannya.

“Affin suka ke sekolah dan sejak tiga tahun lalu, pak cik yang mendukung dan menghantar serta mengambilnya dari sekolah setiap hari.

“Di sekolah pula dia dibantu guru dan rakan. Tidak pernah sekali pun pak cik rasa terbeban apabila perlu menguruskannya kerana dia istimewa walaupun mempunyai kekurangan.

“Apabila terima bantuan ini, pak cik bersyukur dan terharu kerana akhirnya dapat juga dia berjalan. Cuma buat masa ini, dia perlu dipantau kerana baru boleh jalan,” katanya ditemui, semalam.

Berasal dari Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, warga emas itu berkata, dia memelihara cucunya sejak dilahirkan dan menganggap ia rahmat Allah yang paling besar untuknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof berkata, Muhammad Affin menerima sumbangan kaki palsu daripada dermawan yang prihatin dengan nasibnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 9:51 AM