ANGGOTA polis mengiringi tertuduh pertama yang didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani kerana merogol dan mencabul anak perempuannya. FOTO Omar Osman
Aizat Sharif


DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram ke atas anak perempuan masing-masing di Jeneri dan Kuala Ketil pada tahun lalu.

Tertuduh pertama berusia 49 tahun yang hanya berkain pelikat dan berbaju kemeja T warna merah berdepan dengan dua pertuduhan manakala tertuduh kedua berusia 59 tahun yang berkemeja T warna jingga dan berketayap putih pula dihadapkan dengan satu pertuduhan jenayah seksual berkenaan.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pertama yang bertugas sebagai buruh didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun di rumah di Sik pada 20 Disember tahun lalu, 10 malam.

Selain itu, bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa meletak dan menggosok kemaluannya pada kemaluan anak kandungnya yang berusia 13 tahun di rumah di kawasan yang sama seperti pertuduhan pertama pada 22 Disember tahun lalu, 9 malam.

Bagi tertuduh kedua pula, dia didakwa melakukan persetubuhan dengan anak kandungnya yang berusia 14 tahun di rumah di Kuala Ketil, Baling pada 21 Disember tahun lalu, 1 pagi.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh pertama dan kedua didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh pertama juga turut berdepan dakwaan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 untuk pertuduhan kedua yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat.

Prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Savinder Singh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Priscilla kemudian memerintahkan tarikh sebutan semula kes berkenaan dilakukan pada 6 Februari hadapan untuk tertuduh pertama manakala 5 Februari hadapan bagi tertuduh kedua untuk lantikan peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Kedua-dua tertuduh juga turut tidak dibenarkan diikat jamin oleh mahkamah kerana mengambil kira keselamatan saksi yang tinggal serumah dengan tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 4:10 PM