Penduduk, Ismail Mamat, 70 membawa lembu ternakannya ke kawasan yang lebih selamat berikutan air sungai Telemong mulai naik akibat hujan lebat sejak awal pagi tadi di Kampung Kepah, Hulu Terengganu. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menerima laporan kematian 12 lembu, empat kerbau dan 50 ayam kampung sejak musim tengkujuh melanda bermula pada November lalu.

Ketika ini pula, 100 lembu di Padang Ragut Lenggong di Dungun terperangkap kerana kawasan penternakan itu digenangi air.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, lembu yang dilaporkan mati itu berlaku di Kuala Terengganu manakala kematian kerbau pula di Setiu dan kes ayam kampung mati di Besut.

"Kami tidak menolak kemungkinan berlaku banyak kes kematian ternakan kerana banjir sejak November tahun lalu tetapi tidak dilaporkan kepada JPV.

"Harapan kami supaya semua penternak mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir di kawasan mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga berharap supaya penternak dapat memindahkan ternakan ke kawasan yang diyakini lebih selamat.

Katanya, haiwan berkenaan juga perlu penjagaan kerana dibimbangi ia terdedah dengan jangkitan penyakit bawaan air.

Selain itu, pihaknya ada menerima laporan mengenai lima kes kehilangan lembu sejak November hingga 1 Januari lalu.

"Penternak disarankan supaya melaporkan segera kepada JPV daerah masing-masing mengenai sebarang masalah yang berlaku terhadap ternakan mereka termasuk sakit, hilang atau mati supaya tindakan segera dapat diambil jabatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:33 PM