KEDAI emas yang dirompak di Taman Bangi Avenue.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kajang: Penjenayah Geng Yamaha 125Z muncul kembali. Terbaru kumpulan ini merompak sebuah kedai emas di Taman Bangi Avenue di sini, selepas empat hari melakukan rompakan sama.

Dalam kejadian jam 11.25 pagi semalam, tiga lelaki disyaki bersenjatakan objek menyerupai pistol dan tukul besi melarikan barang kemas bernilai hampir RM370,000 dari kedai emas terletak di dalam pasar raya itu.

Suspek sama sebelum ini turut disyaki menyamun sebuah kedai emas di dalam pasar raya di Taman Segar, Cheras pada malam ambang tahun baru lalu membabitkan nilai kerugian RM1.5 juta.

Mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, hanya seorang pekerja wanita berada dalam premis berkenaan ketika kejadian.

“Dua suspek berjaket warna gelap dan berseluar jean muncul dan memecahkan cermin kaca pameran barang kemas menggunakan tukul besi.

“Seorang suspek memecahkan cermin kaca kaunter pameran barang kemas, manakala seorang lagi suspek yang memakai jaket warna gelap, topi keledar tutup muka penuh dan bersenjatakan objek menyerupai pistol berkawal di hadapan premis,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Siasatan lanjut mendapati tiga suspek terbabit menaiki dua motosikal model Yamaha 125Z berwarna hitam dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

“Suspek melakukan rompakan dalam masa dua minit sahaja dan berjaya melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM370,000,” katanya.

Katanya, siasatan ke atas premis berkenaan menjumpai tiga kesan cap jari pada cermin kaca kaunter.

“Selain itu turut ditemui satu tukul besi dan kesan peluh pada pemegang tukul besi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 7:05 AM