X
ANGGOTA SPRM mengiringi suspek ke Mahkamah Sesyen, semalam.
ANGGOTA SPRM mengiringi suspek ke Mahkamah Sesyen, semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tiga sekeluarga termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, semalam atas pertuduhan membabitkan rasuah RM12.5 juta sejak tiga tahun lalu.

Pasangan suami isteri, Mohd Khairi Othman, 38, dan Noorashikin Azmi, 38, dari Taman Rahmat, Jitra serta kakak Mohd Khairi, Huziana Othman, 48, dari Taman Suasana Damai, Jitra membuat pengakuan dan minta dibicara selepas kertas pertuduhan dibaca secara berasingan, di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mohd Khairi didakwa atas dua kesalahan mengikut Seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di mana tertuduh sebagai Ketua Unit DP10, Bahagian Khidmat Ekspatariat, Ibu Pejabat JIM Putrajaya menerima rasuah RM100,000 daripada Muhammad Khairul Asri Pubin melalui akaun Maybank atas nama Hassan Muhammad Yusuf @ Daud.

Rasuah terbabit sebagai upah mempercepatkan pengeluaran Surat Kelulusan Pegawai Dagang (DP10) bagi Syarikat MKAP Bina Sdn Bhd jam 11.07 pagi pada 16 Julai 2017.

Bagi kesalahan kedua, Mohd Khairi didakwa menerima RM50,000 daripada Lee Wai Kay melalui akaun sama atas tujuan sama bagi Syarikat Nature Sense Sdn Bhd jam 1.18 tengah hari pada 19 Jun 2015.

Tertuduh yang kini bertugas di Depoh Tahanan JIM Tanah Merah, Kelantan berdepan 18 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a), Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 membabitkan jumlah keseluruhan RM9.2 juta.

Kesalahan dilakukan di beberapa bank di sekitar negeri ini antara 18 Disember 2015 sehingga 1 Mac 2017.

Sementara itu, Noorashikin yang juga seorang pengarah dua syarikat iaitu Firas Rizqi Resources dan Ilham Rizqi Resources berdepan lima pertuduhan membabitkan Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b), AMLA 2001 berjumlah RM2.5 juta.

Kesalahan terbabit dilakukan di tiga bank sekitar Jitra, di sini, antara 7 April 2016 hingga 14 November 2016.

Huziana pula didakwa menerima RM500,000 dari akaun Bank Rakyat milik Hassan Muhammad Yusuf @ Daud di Bank Rakyat cawangan Alor Setar, Jalan Langgar pada 9 Jun 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai Ketua Jururawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a), AMLA 2001.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), A Hafiizh Abu Bakar manakala Mohd Khairi dan Noorashikin diwakili Ridha Abdah Subri serta Huziana tidak diwakili peguam.

Mahkamah memerintahkan wang jaminan Mohd Khairi RM1.6 juta manakala Noorashikin serta Huziana masing-masing RM200,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserah kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen.

Noorashikin dan Huziana bagaimanapun membayar wang jaminan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:55 AM