GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


SYARIKAT Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memperuntukkan RM8 juta untuk proses mengagihkan air secara percuma kepada pengguna di kawasan yang mengalami gangguan bekalan air sepanjang tahun lalu di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abdul Ghani Zainuddin berkata, biarpun jumlah itu sangat tinggi namun pihaknya perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna berikutan syarikat itu sedang melakukan pelbagai projek naik taraf demi memastikan masalah air dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang 2020.

"Pada tahun ini, SADA merancang untuk mengurangkan pengagihan air menggunakan lori yang dibayar oleh SADA. Kami mahu salurkan air melalui paip yang bererti projek-projek naik taraf loji rawatan air (LRA) dan menggantikan paip perlu disiapkan mengikut jadual.

"Penghantaran air menggunakan lori ini merugikan SADA. Tahun ini kami berazam untuk meminimakan pengagihan air dengan cara itu, sekiranya berlaku bencana barulah kita akan menghantar bekalan air dengan lori," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Muafakat Media bersama SADA di Bangunan SADA, Alor Setar, malam tadi.

Mengikut rekod, pada tahun lalu, SADA membekalkan kira-kira 2.2 juta liter air sehari kepada penduduk yang menghadapi gangguan bekalan terutama semasa musim perayaan Aidilfitri.

Sebanyak 127 lori digunakan bagi menghantar air di 257 buah kampung di seluruh negeri yang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, lima projek LRA iaitu di Pelubang, Bukit Selambau , Sungai Limau, Lubuk Buntar Lama dan Jenun Baru yang menelan belanja hampir RM1 billion akan mampu membekalkan air terawat kepada pengguna sehingga 2040.

Katanya, loji yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun lagi itu bakal menyelesaikan masalah gangguan air secara keseluruhan di Kedah.

"Bagi Pulau Langkawi, kerajaan memperuntukkan RM600 juta dalam perbentangan bajet 2018 pada Oktober lalu untuk membina Kolam Takungan Hiliran atau 'Off River Storage' (ORS) bagi menyediakan keperluan air mentah di sana.

"Ia sejajar dengan pembangunan pesat industri pelancongan (pertambahan hotel) dan kepadatan penduduk di pulau terbabit,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:59 AM