ANTARA doktor dan kakitangan hospital bergambar dengan helikopter yang disediakan khas untuk perkhidmatan Medical Evacuation (MedEvac) di helipad di perkarangan Hospital Langkawi. FOTO ihsan Norhizan Ismail
Muhaamad Hafis Nawawi


HOSPITAL Langkawi melakar sejarah apabila menyediakan perkhidmatan Medical Evacuation (MedEvac) atau ambulans udara untuk penghantaran pesakit ke mana-mana hospital di negara ini menggunakan helikopter Airbus H135 9M-DRA.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata, perkhidmatan ini mampu menjimatkan masa pembabitan anggota hospital dalam penghantaran pesakit.

"Perkhidmatan ini semestinya akan memudah dan mempercepatkan pelbagai kes dari Langkawi untuk menerima rawatan kecemasan kepakaran yang tidak terdapat di Hospital Langkawi.

"Ini kerana Hospital Langkawi hanya menyediakan perkhidmatan kepakaran utama antaranya Kecemasan dan Trauma, Perubatan, Pediatrik, Ortopedik, Bius, Obstetrik dan Ginekologi, Pembedahan," katanya.

Dr Norhizan berkata, sebelum perkhidmatan ini diperkenalkan, pesakit dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar melalui feri dan ambulans laut.

"Perkhidmatan melalui feri dan ambulan laut ini mengambil masa yang agak lama dan juga berlaku kesukaran untuk kes-kes dipindahkan pada waktu malam.

"Kami sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan tahap perkhidmatan Kesihatan di negeri ini.

"Perkhidmatan ini bersesuaian dengan taraf Langkawi sebagai Pulau Pelancongan Antabangsa serta pelbagai program bertaraf antarabangsa yang sering diadakan di pulau ini," katanya.

Beliau berkata, helikopter ini diubah suai sebagai ambulans udara iaitu dilengkapi dengan alat perubatan yang siap tersedia.

"Helikopter ini berkemampuan melakukan penerbangan bagi kes-kes kecemasan atau kes-kes yang memerlukan rawatan pakar di mana kepakaran yang diperlukan tidak disediakan di Hospital Langkawi selain boleh beroperasi siang dan malam.

"Ruang helikopter boleh menempatkan dua anggota perubatan dan seorang pesakit yang dibaringkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 11:17 AM