BANJIR sehingga paras betis tidak menghalang 800 jemaah menunaikan solat Jumaat di Kampung Bukit Mentok, Chukai, hari ini.

Pengerusi masjid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Bukit Mentok, Mohd Azmi Mohd Ali berkata, bagaimanapun bilangan jemaah sedikit terjejas berbanding ketika keadaan biasa.

"Kehadiran jemaah masjid ramai, hari ini kira-kira 800 orang hadir solat Jumaat di masjid ini.

"Biasanya bilangan jemaah yang datang boleh menjangkau seramai 2,000 orang," katanya.

Penduduk, Kadir Rahman, 58, berkata, keadaan banjir seperti itu sudah menjadi kebiasaan kepada penduduk kampung berkenaan.

ANTARA jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Haji Wan Muda. FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, kawasan masjid dan kampung dinaiki air berikutan alur berdekatan yang mengalirkan air ke Sungai Kemaman melimpah.

"Kami di sini sudah biasa dengan keadaan begini kecuali kejadian banjir besar yang melanda seluruh Kemaman pada 2013.

"Ketika itu sebahagian besar rumah dan juga masjid ini dimasuki air hingga ada ke paras bumbung," katanya ketika ditemui di Masjid Haji Wan Muda, Kampung Bukit Mentok selepas solat Jumaat.

Solat Jumaat di masjid berkenaan hari ini diimamkan Mustopa Otman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 3:46 PM