Muhammad Fauzan Daniel bersama ibunya, Siti Sapiyah Mohd Dewa menunjukkan Anugerah Penuntut Terbaik.
Shaiffulazhar Misri

Melaka: “Melihat kegigihan rakan latihan yang tidak mudah mengalah mengharungi latihan sepanjang kursus membuatkan saya nekad berjuang bersama mereka dan tidak sangka ia membawa tuah,” kata Penuntut Terbaik Kursus Asas Komando, Leftenan Muda Muhammad Fauzan Daniel Mohd Jazly, 23.

Katanya, awalnya dia seakan-akan tidak percaya dapat menamatkan kursus itu dengan sekali percubaan kerana latihan selama empat bulan yang dilalui amat sukar.

“Sukar diceritakan tetapi bagi mereka yang pernah layak untuk menjalani kursus ini mereka akan faham kerana ia bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal malah ketahanan mental juga perlu daya tahan yang tinggi.

“Kerjasama sepanjang latihan bersama rakan seperjuangan juga penting kerana semuanya termasuk pangkat diketepikan,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah penuntut terbaik di Kem Sungai Udang, semalam.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, kejayaannya dianugerahkan penuntut terbaik adalah atas sokongan dan doa daripada keluarga, rakan serta jurulatih.

Katanya, minat mendalam dengan pasukan komando mula selepas melihat personaliti positif seorang seniornya selepas menjalani latihan asas.

“Mulanya keluarga terkejut apabila saya meluahkan keinginan menyertai komando, malah ayah turut bertanya kerana inginkan kepastian.

“Maklumlah ayah bekas tentera jadi selok-belok semuanya dia tahu, bagaimanapun selepas saya menjelaskan semuanya Alhamdulillah keluarga dapat menerima,” katanya.

HASAN memakaikan beret kepada penuntut yang menamatkan latihan Kursus Asas Komando Siri AK/3/2017, semalam.

Bapa kepada Fauzan, Mohd Jazly Abdul Majid, 54, berkata, apabila anaknya diumumkan sebagai penuntut terbaik, perasaan terharu datang dan tidak menyangka dia mampu sampai ke tahap itu.

“Saya pesara tentera dan memahami kepayahan apabila berada dalam latihan komando. Dia pula bukan jenis yang aktif, namun saya percaya dia dapat lakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Sementara itu, Panglima 21 Gerup Gerak Khas, Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali berkata, keagungan beret hijau yang dijunjung di kepala perlu sentiasa dipelihara dan dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.

“Kursus asas komando ini permulaan dalam perkhidmatan pasukan ini. Pada usia muda mereka boleh mengorak langkah dengan mendalami pelbagai ilmu seterusnya memperkasakan pasukan yang menjadi aset strategik pertahanan negara,” katanya.

Terdahulu, pada Program Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/3/2017 seramai lapan pegawai dan 193 anggota lain-lain pangkat lulus dalam ujian kelayakan, namun hanya enam pegawai dan 86 anggota berjaya menamatkan latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 9:17 AM