FIZLI bersama Nur Hani ketika dirawat di Institut Jantung Negara.
HM Digital

Kuala Lumpur: Dia tidak pernah menyesal apabila memilih berhenti kerja sebagai pilihan demi anak bongsunya yang menghidap saluran injap jantung sempit.

Bagi Fizli Abdullah, 40, bukan mudah untuk melakukan keputusan terbesar itu dengan berhenti kerja sebagai pegawai di sebuah bank terkemuka di Langkawi tetapi dia nekad untuk sentiasa menemani anak perempuannya, Nur Hani Natasha, 9, ketika menerima rawatan di hospital.

Anaknya itu disahkan mempunyai saluran injap jantung sempit sejak kecil dan sudah menjalani empat pembedahan yang terbaru pada minggu lalu untuk memasukkan bateri jantung.

“Ketika ini saya mengharapkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar kos rawatan Hani termasuk yang terbaru sebanyak RM35,000.

“Saya akui sedikit sukar kerana ketika ini hanya isteri seorang bekerja di sebuah hotel untuk menyara hidup kami termasuk dua anak berusia 15 dan 13 tahun,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, keputusan untuk berhenti kerja dibuat berikutan kerap mengambil cuti panjang untuk menjaga anaknya.

“Jika dulu saya kerap mengambil cuti tanpa gaji kerana mahu menjaga Hani, selepas berbincang dengan isteri kami bersetuju untuk saya berhenti kerja dan mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

“Walaupun ia keputusan yang sukar, saya perlu berkorban demi Hani untuk menumpukan perhatian dan memberi sokongan kepadanya ketika menerima rawatan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu Fizli boleh menghubunginya di talian 011-35873947 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 9:59 AM