Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


FENOMENA kabus tebal melanda beberapa kawasan di sekitar Kota Bharu, hari ini.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Kota Bharu sejak 7 pagi sehingga 8.30 pagi tadi, kabus tebal menyelubungi di beberapa kawasan.

Bagaimanapun sehingga 9 pagi tadi, keadaan pulih seperti biasa.

Penjawat awam Salmizi Che Mat, 39, berkata, dia terkejut sebaik melihat keadaan kabus tebal dan sejuk seperti berada di Cameron Highlands berbanding hari lain.

Katanya, hujan lebat pada awal pagi berkemungkinan menjadi punca fenomena kabus tebal itu.

"Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja jarak penglihatan juga agak terhad dan saya lihat banyak kenderaan menyalakan lampu.

"Jarang kita boleh lihat dan rasai keadaan berkabus dan sejuk seperti ini di Kota Bharu," katanya.


KABUS tebal melanda beberapa kawasan di sekitar Kota Bharu pagi ini. FOTO Zaman Huri Isa

Sementara itu, peniaga kedai makan, Che Yah Che Mud, 37, dari Pasir Hor berkata, kebiasaannya keadaan berkabus berlaku sehingga 7 pagi sahaja namun berbeza pada hari ini.

"Saya biasa keluar awal pagi untuk beli barang keperluan dan memang keadaan kabus cukup tebal dan sejuk.

"Sehingga 8.30 pagi ini kabus masih boleh dilihat," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Meteorologi Kelantan Rabiah Al Adawiyah Zakaria berkata keadaan kabus tebal itu berlaku berikutan hujan lebat selama beberapa jam, awal pagi tadi.

"Ini keadaan biasa sekiranya hujan lebat berlaku," katanya.


KEADAAN kabus di sekitar Kota Bharu pagi ini. FOTO ihsan pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 10:13 AM