KEADAAN treler yang terjatuh dari Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, hari ini. FOTO Nazirul Roselan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


PEMANDU treler terselamat walaupun kenderaan dipandunya terjatuh dari ketinggian kira-kira tujuh meter di Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, hari ini.

Dalam kejadian pada 11.20 pagi, mangsa Mohd Fariz Ridzuan Mahmood, 41, cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

Difahamkan, treler tanpa muatan yang dalam perjalanan menuju ke Kuantan itu terjatuh ke atas jalan raya di Jalan Temerloh-Triang.

Mohd Fariz berkata, kejadian berlaku apabila dia melakukan brek secara mengejut apabila kenderaan di hadapannya memperlahankan kenderaannya bagi memberi laluan kepada ambulans.

“Akibat itu saya sukar mengawal kenderaan ini berikutan tiada muatan sebelum terbabas dan merempuh penghadang jambatan seterusnya jatuh ke bawah.

“Mujur saya sempat terjun keluar dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh Hashnuddin Hussin berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 11.26 pagi sebelum sepasukan lapan anggota dan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati pemandu treler sudah keluar dari kenderaan itu dan mengalami cedera ringan.

“Kita mengambil tindakan memotong aliran elektrik daripada bateri treler berkenaan kerana dikhuatiri akan berlaku letupan berikutan berlaku tumpahan minyak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 4:20 PM