Raja Zarith Sofiah melawat keluarga Allahyarham Fatimah. (gambar kecil) Gambar kenangan Zarina dan Abdul Khudus bersama Fatimah dua tahun lalu. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


PERMAISURI Johor Raja Zarith Sofiah Idris Shah mencemar duli melawat keluarga kanak-kanak orang kurang Upaya (OKU), Allahyarham Fatimah Abdul Kudhus,9, di Taman Bestari Indah di Ulu Tiram, hari ini.

Menerusi lawatan kira-kira setengah jam, Raja Zarith Sofiah juga menyatakan takziah kepada keluarga arwah selain memberikan sokongan moral kepada ibu arwah, Zarina Rani, 44, dan bapa, Abdul Khudus Abdul Karim,45.

Turut menemani baginda, Che Puan Khaleeda Bustamam, isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Zarina berkata, dia dan ahli keluarga amat terharu dengan kunjungan permaisuri ke kediamannya selepas dimaklumkan mengenai pemergian anaknya pada 2 Januari lalu.

Menurutnya, beberapa tahun lalu Fatimah berpeluang menemui permaisuri dan ia antara pertemuan yang tidak dapat dilupakan.

"Bukan hanya kami sekeluarga saja yang gemar melihat senyuman tabah arwah biarpun dia menderita pelbagai penyakit malah Permaisuri Johor juga menyatakan perkara sama.

"Dia (Fatimah) tetap ceria dan sentiasa senyum walaupun dia merupakan pesakit jantung, masalah hati, masalah tumbesaran, tulang belakang dan buah pinggang selain bergantung kepada 13 jenis ubat setiap hari.

"Jika masih hidup Fatimah pasti gembira apabila dapat bertemu kembali dengan Permaisuri yang berjiwa rakyat," katanya.

Fatimah meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru selepas hampir seminggu menerima rawatan di HSI.

Pada 4 Oktober 2016, Harian Metro mendedahkan semangat Fatimah ke sekolah walaupun mengalami pelbagai masalah kesihatan.

Malah kegigihan ibunya yang sanggup menyahut cabaran kembali ke sekolah pada usia 40-an kerana perlu menemani Fatimah yang susuk badannya menyamai kanak-kanak berusia dua tahun juga menjadi perhatian.

Wanita berkenaan juga cekal menjaga Fatimah yang tidak boleh berjalan dan hanya mengengsot serta ketika di sekolah anaknya menggunakan basikal khas untuk bergerak.

Zarina juga mengambil keputusan berhenti kerja sebagai jurujual di sebuah syarikat kereta sejak beberapa tahun lalu demi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Faimah termasuk membawa mendapatkan rawatan berkala ke HSI.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 9:43 PM