Mohd Khalil (dua dari kanan) bersama pegawai kanan polis menunjukkan sembilan wajah suspek kes bunuh kejam di stesen minyak shell Taman Pelangi. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


POLIS Johor memburu sembilan lagi suspek baru yang sudah dikenal pasti dan mempunyai peranan masing-masing dalam kejadian kes pembunuhan di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, pada 17 Disember lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata suspek berusia 21 hingga 40 tahun itu dipercayai terbabit dengan kes itu, selain waran tangkap sudahpun dikeluarkan.

"Ini adalah suspek-suspek yang kita kehendaki. Kami memohon orang ramai membantu polis bagi mengesan, menangkap dan membawa suspek ke muka pengadilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyampaian Amanat Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Johor, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Mohd Khalil berkata, pihaknya percaya semua suspek berkenaan masih di dalam negara.

Berhubung senjata pisau yang digunakan dalam kejadian itu katanya, proses mendapatkan bahan bukti itu sedang dilakukan dan lokasinya sudah dikenal pasti.

Sementara itu katanya, dua suspek berusia 19 dan 23 tahun yang sebelum ini direman berhubung kejadian itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor pagi esok.

Katanya, tindakan pendakwaan itu selepas rumusan mengenai kes itu diperoleh dan mendapat arahan pertuduhan pihak peguam negara.

"Berdasarkan kes bunuh terbabit, kedua-dua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, berdasarkan statistik terdapat 253 kes kertas siasatan dibuka terhadap pegawai dan anggota polis pada tahun 2016.

"Jumlah sama juga direkodkan pada tahun lalu. Walaupun kes sama tetapi jumlah anggota terbabit berbeza iaitu 353 orang pada 2016 dan 394 anggota pada tahun lalu.

"Daripada kes ini, paling banyak salah laku adalah aspek penugasan polis, diikuti jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata daripada kes itu, aspek rasuah membabitkan pegawai dan anggota turun mendadak sehingga 51 peratus.

“Nisbah pegawai atau purata Kontinjen Johor 10,200 dengan 394 membabitkan tatatertib bersamaan 3.9 peratus yang terbabit," katanya.

Mengulas lanjut mengenai jenayah membabitkan anggota polis itu katanya, tiada ruang untuk polis melakukan salah laku di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 7:32 PM