Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my


PENDAKI wanita berasal dari Kuala Lumpur alami serangan jantung ketika mendaki Gunung Yong Yap, Lojing, 9.30 malam tadi.

Rahimah Saadun, 31, bagaimanapun selamat dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima laporan daripada rakan mangsa sejurus kejadian, dan sepasukan anggota bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam dikerah ke lokasi.

“Pasukan bergerak 9.55 malam dan tiba-tiba kira-kira sejam dan terus memulakan pendakian dibantu rakan mangsa.

“Mangsa ditemui selamat, namun lemah tidak jauh dari puncak. Dia dibawa turun dan kira-kira 7 pagi tadi dirujuk ke Klinik Kesihatan Lojing untuk rawatan awal,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke HGM untuk rawatan lanjut.

Mohd Taufik meminta mana-mana pendaki sama ada secara berkumpulan atau berseorangan supaya melapor diri di mana-mana balai polis terdekat sebelum memulakan pendakian.

Ia bagi memudahkan pihaknya melakukan pemantauan dan bertindak segera sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

“Kebanyakan rombongan pendaki tidak buat laporan, perkara ini penting. Dan laporan boleh dibuat di balai polis berhampiran kawasan itu iaitu Balai Polis Lojing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 12:40 PM