Longgokan sampah serta air lecet yang dalam proses pelupusan ketika tinjauan di Pusat Pelupusan Sampah Renggam, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


TAPAK pelupusan sampah CEP Renggam di Simpang Renggam, Johor ditutup sementara manakala pengendalinya, SWM Environment Sdn Bhd (SWM) dikenakan penalti berjumlah RM149,000 selepas sebuah benteng kolam takungan air resapan di situ pecah, petang semalam.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, berikutan itu Majlis Daerah Simpang Renggam, Majlis Perbandaran Kluang dan Majlis Perbandaran Batu Pahat diarah menghantar sisa sampah ke Tapak Pelupusan Sanitari Seelong di Kulai.

Beliau berkata, kerja berkenaan akan dilaksanakan SWM selama dua minggu dan dalam masa sama dikehendaki membaiki semula kolam takungan berkenaan selain melaksanakan kerja penutupan sampah dengan kanvas serta plastik.

“Petang semalam sebuah benteng kolam takungan air resapan pecah kerana tidak mampu menampung air hujan yang datang dari bukit sampah di sini.

“Masalah benteng pecah ini adalah kali kedua berlaku di tapak pelupusan ini dan susulan itu langkah pembaikan sudah diambil SWM.

“Kementerian melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan menyediakan laporan harian kepada exco kerajaan tempatan untuk dibentangkan kepada mesyuarat exco setiap Rabu,” katanya selepas melawat Tapak Pelupusan Sampah CEP Renggam di Simpang Renggam, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jais Sarday dan Pengurus Projek SWM S Prakash.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:26 PM