FOTO Hiasan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


HAMPIR tiga peratus atau 170 pendatang asing tanpa izin (PATI) diseludup dengan bas ekspres dari negara jiran ke negara ini atau sebaliknya, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, PATI diseludup oleh sindiket dengan menggunakan perkhidmatan bas ekspres bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, penyeludupan itu kerap berlaku tetapi masih terkawal.

"Pihak kita sentiasa membuat pemantauan dan kawalan bagi mengekang penyeludupan PATI dari negara jiran atau beberapa negeri lain ke Kelantan termasuk Lembah Klang.

"Namun, penyeludup bertindak licik apabila menggunakan bas ekspres untuk menyeludup PATI bagi pelbagai sektor termasuk buruh binaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Ejen, Penyampaian Hadiah, Anak-anak Cemerlang dan Persaraan Kakitangan 2018 Konsortium E-Mutiara Berhad di Hotel Perdana, Kota Bharu, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur, Mohd Tamizi Shafiin. Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail.

Wan Mohammed Saupee berkata, sepanjang tahun lalu seramai 1,600 warga asing yang berjaya ditangkap termasuk menerusi operasi.

Katanya, mereka yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/ 63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Sementara itu, Mohd Tamizi berkata, SPAD meminta syarikat bas dan ejen jualan tiket supaya tidak berkompromi dengan mana-mana PATI.

"Ejen tiket kena proaktif membanteras penyeludupan PATI dengan mencatat nama dan nombor telefon warga asing yang membeli tiket," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 4:14 PM