ANTARA basikal lajak yang ditahan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


PELAJAR tingkatan satu di Jitra sanggup menggunakan wang bapanya sebanyak RM800 untuk menghasilkan basikal lajak yang digunakan untuk ke sekolah.

Difahamkan, dia turut mendesak bapanya supaya memberikan wang itu dan enggan ke sekolah jika permintaannya tidak dituruti.

Bagaimanapun, keseronokan pelajar berusia 13 tahun itu menunggang basikalnya yang diubahsuai terbantut apabila ditahan bersama enam pelajar lain oleh anggota Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketujuh-tujuh pelajar berusia 13 hingga 15 tahun itu ditahan ketika operasi terhadap penunggang motosikal di pekan Jitra bermula 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang.

Beliau berkata, anggotanya menahan tujuh pelajar terbabit bersama basikal masing-masing dan dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan.

"Bagaimanapun, kita hanya memberi amaran kepada mereka selain memanggil ibu bapa masing-masing untuk mengambil anak mereka.

"Kita juga tidak menyita semua basikal lajak itu dan menasihati semua pelajar terbabit mengenai bahaya menggunakan basikal itu.

"Saya percaya ramai lagi pelajar menggunakan basikal lajak ini kerana ia menjadi ikutan kini di kawasan Kubang Pasu ini dan polis akan mengambil tindakan termasuk terhadap ibu bapa pelajar sekiranya pelajar terbabit ditahan," katanya ketika ditemui di IPD Kubang Pasu, hari ini.

Mohd Ismail berkata, penggunaan basikal lajak ini sangat berbahaya kerana ia tidak mempunyai brek dan ciri-ciri keselamatan termasuk tayar dan alat pemegang yang lebih kecil dari basikal biasa.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati ada ibu bapa yang sanggup mengeluarkan wang untuk membenarkan anak mereka mengubah suai basikal lajak ini tetapi tidak sedar mengenai bahaya yang akan dihadapi.

"Pelajar ini menunggang basikal ini hanya untuk keseronokan dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Kita berharap ibu bapa lebih mengambil perhatian untuk memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan penggunaan basikal lajak ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:39 PM