Hamdan (empat dari kiri) merasmikan majlis pelancaran projek Komuniti Pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan Masjid Al-Muttaqin di Wangsa Melawati, semalam.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Komuniti Hijau, Jawatankuasa Masjid Al-Muttaqin dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan projek perintis Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) di masjid berkenaan, semalam.

Projek berkenaan dipohon masjid itu sebagai langkah penjimatan penggunaan air bersih.

Pro Naib Canselor UTM Kampus Kuala Lumpur Profesor Dr Shamsul Sahibudin berkata, projek komuniti berkenaan dilaksanakan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) diketuai Ketua Projek Dr Aznah Nor Anuar.

“Projek ini bukan saja membantu mengurangkan penggunaan air terawat untuk penggunaan umum seperti mencuci dan menyiram pokok, malah dapat membantu menjimatkan bil air.

“Pemasangan sistem yang sistematik juga membantu pihak masjid dalam pengurusan air secara lestari.

“Diharap projek komuniti ini dapat memberi impak dan aspirasi kepada masyarakat setempat dalam menjimatkan penggunaan air terawat,” katanya pada majlis perasmian projek pemasangan SPAH di Wangsa Melawati, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Hamdan Mohd Yusof dan turut hadir Pengerusi Masjid Al-Muttaqin, Yahya Din.

Sementara itu, Aznah berkata, projek itu direalisasikan pihaknya menerusi bantuan dana RM60,000 daripada unit Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Tinggi.

Katanya, pemasangan SPAH di masjid terbabit dijangka mengambil masa enam bulan dan jika tiada masalah, ia akan beroperasi pada Jun ini.

“Apabila siap kelak, sistem berkenaan mampu membantu menjimatkan bil air bulanan sehingga 50 peratus bergantung kepada keadaan cuaca dan penggunaannya.

“Selain menjimatkan penggunaan air terawat, SPAH juga berfungsi sebagai persediaan dalam menghadapi bekalan air awam kerana ia membabitkan penyimpanan air di dua tangki besar yang disediakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 3:33 AM