Polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin, ganja, syabu, pil eramin 5 dan ketum
Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Negeri Sembilan menahan 19 pengedar dadah yang aktif di negeri ini, dalam operasi khas dilancarkan di lima daerah, sejak Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, pihaknya melakukan Op Khas, Op Sarang dan Op Pusat Hiburan di kawasan tumpuan sekitar Seremban, Nilai, Jempol, Tampin dan Jelebu.

"Dalam operasi selama empat hari itu, kami menahan 352 orang untuk pemeriksaan. Namun, daripada jumlah itu hanya 19 pengedar ditahan, selain 37 orang memiliki dadah dan 81 penagih dadah.

"Polis turut merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin, ganja, syabu, pil eramin 5 dan ketum yang semuanya dianggarkan bernilai RM6,425.90," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Faisal berkata, pihaknya turut menyita wang tunai dan kenderaan suspek bernilai RM17,700.

Katanya, JSJN akan membanteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan kepada tangkapan pengedar dadah yang bergiat aktif di negeri ini dan tidak akan berkompromi dengan kegiatan itu.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat dalam usaha membantu polis memerangi gejala dadah secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 2:25 PM