SUSPEK pecah kedai yang dirakam CCTV.
SUSPEK pecah kedai yang dirakam CCTV.
HM Digital

Melaka: Walaupun tiga kali mencuba memecahkan mesin tukaran syiling kedai dobi layan diri 24 jam di Taman Rambai Jaya, Bukit Rambai di sini, kelmarin, namun usaha seorang lelaki tetap menemui kegagalan.

Menurut sumber, kejadian itu disedari pemilik kedai dobi layan diri berusia 49 tahun sebaik penggera rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disambung ke telefon bimbitnya berbunyi pada jam 7.55 pagi.

“Sebaik menyedari ada cubaan merompak, pemilik kedai dobi terbabit segera ke kedai dan mendapati ada satu lubang berdekatan mesin tukar wang dan mesin cecair pencuci pecah.

“Pemilik dobi memeriksa stor kedai dan mendapati ada kesan potongan dan rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki masuk ke dalam kedai terbabit untuk mencuri wang syiling.

“Kelibat suspek dikesan tiga kali memasuki premis terbabit namun usahanya tidak berjaya walaupun suspek memecahkan dinding papan premis berkenaan,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Afzan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pemilik premis.

“Kami masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 4:34 AM