PENARI mempersembahkan tarian Igal-Igal untuk hiburan tetamu di majlis persandingan.
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my

Tawau: Bagi mereka yang pertama kali menghadiri majlis perkahwinan masyarakat Bajau di Sabah, pasti terkejut apabila melihat persembahan tarian Igal-Igal.

Dengan alunan muzik tradisional, penari sama ada lelaki dan perempuan akan menari atau ‘mengalai’ di hadapan mempelai di pelamin.

Suasana menjadi meriah apabila tetamu bersorak melihat kesungguhan penari yang lazimnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja menari dengan mengikut rentak muzik tradisional.

Malah, adakalanya, pengantin lelaki atau perempuan mengetepikan perasaan segan dan turut bersama-sama mempersembahkan tarian ini pada majlis persandingan mereka.

Pada masa sama, orang ramai yang menyaksikan persembahan ini akan menyelitkan wang pada jari penari berkenaan.

Pemberian wang itu dikenali sebagai ‘sabod’ dalam kalangan masyarakat Bajau.

Penduduk berketurunan Bajau di Batu 4, Tawau, Muhammad Osman, 56, berkata, pemberian sabod sudah menjadi sebahagian amalan masyarakatnya ketika mengadakan majlis perkahwinan.

Katanya, tetamu akan menyelitkan wang di jari penari ketika mereka sedang menari.

“Jumlah wang yang diberi mengikut kemampuan dan keikhlasan penonton.

“Ia menunjukkan tanda hormat kepada penari yang menghiburkan tetamu.

“Sabod bukan untuk memberi upah, tetapi diberi kepada penari sebagai tanda terima kasih,” katanya.


TETAMU menyelitkan wang di jari penari Igal-Igal.

Wartawan Harian Metro yang hadir pada majlis persandingan anak Muhammad mendapati kebanyakan tetamu memang sedia maklum dengan adat berkenaan.

Malah, mereka bersama-sama bertepuk tangan apabila penari mempersembahkan tarian Igal-Igal.

Muhammad berkata, wang itu menjadi milik si penari dan ia boleh digunakan mengikut kehendak mereka.

Dalam pada itu, dia berkata, sesiapa saja yang pandai menari Igal-Igal dijemput untuk bersama-sama mempersembahkan tarian itu.

Katanya, persembahan Igal-Igal hanyalah sekadar hiburan untuk tetamu pada majlis keraian seperti perkahwinan.

“Orang kata, tetamu datang ke majlis membawa hadiah, tetamu balik pun membawa hadiah (sabod).

“Biasanya penari yang mengalai (menari) akan mendapat sabod kira-kira RM200 dan ke atas,” katanya.

Dalam pada itu, tarian Igal-Igal ini bukan saja ditarikan pada majlis perkahwinan, malah pada majlis keraian lain.

Ia dilihat pada sambutan Reggata Lepa di Semporna setiap tahun.

Lebih meriah, penari akan memakai pakaian tradisional dan menari mengikut alunan muzik tradisional seperti kulintangan, gong dan tagungguk.

Mohamad berkata, ada kalanya persembahan tarian berkenaan diiringi rakaman muzik lagu masyarakat Bajau manakala penari akan menari mengikut rentak lagu berkenaan.

“Ini adalah tradisi nenek moyang kami yang diwarisi secara turun-temurun.

“Walaupun saya sudah berumur, saya mahu ia terus dihidupkan oleh anak cucu saya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 5:51 AM