Rampasan daripada tokan dadah ketika serbuan di kawasan semak Kampung Lonek, Jempol. FOTO/ Ihsan Polis
Abnor Hamizam Abd Manap

TINDAKAN polis menunggu 30 minit di kawasan semak di Kampung Lonek, Jempol, untuk menangkap penagih dadah ternyata berbaloi apabila tujuh suspek berjaya diberkas, semalam.

Polis yang menerima maklumat mengenai kewujudan sarang penagihan dadah terletak kira-kira 20 meter dari kampung berkenaan, segera melakukan intipan pada 2.20 petang.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, hasil intipan itu polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun dengan seorang daripadanya tokan dadah.

Menurutnya, pemeriksaan pada tokan dadah itu menemui 15 peket plastik berisi tumbuhan disyaki ganja seberat 92.5 gram (g) dan lima peket syabu (2.5g) manakala pemeriksaan pada rakannya pula menemui syabu (0.2g) disimpan di dalam kotak rokok.

“Susulan penahanan kedua-dua suspek, polis mendapat maklumat penagih akan datang membeli dadah menyebabkan anggota bersembunyi dan mengepung kawasan berkenaan.

“Selepas 30 minit menunggu, lima lelaki berusia 24 hingga 37 tahun yang masuk ke kawasan semak itu dipercayai untuk mendapatkan bekalan dadah berjaya ditahan secara berasingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, berlaku pergelutan semasa tangkapan namun tiada kecederaan dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.

Hasil siasatan awal, katanya, semua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta rogol.

Beliau berkata, mereka direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 2:03 PM