ANGGOTA bomba membawa turun mangsa.
HM Digital

Rawang: Seorang lelaki berusia 26 tahun patah pinggul ketika terjatuh di Air Terjun Hutan Lipur Sungai Kanching, Taman Templer di sini, terpaksa menahan kesakitan hampir empat jam sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kejadian jam 6.20 petang kelmarin.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Selangor Alimaddian Bukri berkata, mangsa Mohd Azril Hamdi bersama tiga lagi rakannya menjalankan aktiviti riadah pada ketinggian 900 meter di kawasan air terjun itu sebelum terjatuh dari ketinggian empat meter.

“Akibat jatuh terhentak, mangsa patah pinggul dan tidak dapat bergerak menyebabkan anggota bomba terpaksa mengusungnya.

“Usaha membawa turun lelaki itu kami lakukan selepas mendapat panggilan daripada rakan mereka jam 6.23 petang,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa keluar pada jam 10.20 malam dan dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 12:22 PM