AB Rauf
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Penganjuran julung kali program jambori permotoran terbesar di negara iaitu Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW 2018) dijangka dapat menarik lebih 100,000 peserta tempatan dan luar negara pada 23 hingga 25 Mac depan.

Program julung kali itu akan diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dan ia bakal menjadi perhimpunan permotoran terbesar di negara ini.

Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, MBW 2018 adalah program jambori permotoran terbesar dan ia julung kali diadakan di negara ini.

Menurutnya, penganjuran pertama kali itu akan menarik lebih ratusan ribu peserta dan dijangka MBW 2018 akan menjadi acara tahunan dalam kalendar negara ini.

“Program itu adalah cetusan idea serta cadangan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Eksekutif GPMOTO.

“Ia bertujuan menghimpunkan penunggang motosikal pelbagai kategori dan jenama bermula daripada kapcai, klasik, vespa, lady bikes, Easy Rider sehingga kepada Superbike,” katanya kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran MBW 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Ab Rauf berkata, selain peserta tempatan, pihaknya juga menjemput penyertaan dari Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia untuk sama-sama memeriahkan jambori permotoran berkenaan.

Media Prima Bhd dilantik sebagai media rasmi MBW 2018 yang mendapat kerjasama TV3 bagi merealisasikan konsep seperti program Jom Heboh yang dapat menarik perhatian orang ramai.

Bagi acara Cup Prix atau special race akan dikendalikan akhbar Harian Metro dan dijangka Ahmad Zahid akan merasmikan program berkenaan pada 24 Mac depan.

Objektif MBW 2018 adalah menggabung dan merapatkan semua Persatuan Permotoran Malaysia bagi memupuk nilai peribadi dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan bikers di segenap peringkat umur.

Acara itu juga memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempromosi produk permotoran tempatan serta membantu individu menjual dan membeli motosikal pada harga terpakai.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 30 motosikal jenama Yamaha Y15ZR bakal dihadiahkan kepada pengunjung melalui cabutan bertuah, selain pengunjung berpeluang memenangi aksesori motosikal.

Katanya, turut diadakan adalah pertandingan Miss Motorbike 2018 terbuka kepada semua peserta Lady Bikers, pertandingan motor tercantik setiap kategori dan Bikers Fashion Show yang dinilai dari segi pemakaian sempurna, cantik dan menarik.

“Ceramah agama juga diadakan sebagai pengisian rohani kepada peserta, selain sembang santai bersama personaliti tanah air dan ikon bikers berpengalaman dalam industri permotoran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 4:06 AM