MUSTAPHA menunjukkan bumbung dan siling rumahnya rosak akibat ribut.
MUSTAPHA menunjukkan bumbung dan siling rumahnya rosak akibat ribut.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kuala Kangsar: “Nasib baik tiada orang di rumah, kalau tidak tak tahu apa akan jadi,” kata Mustapha Kamil Abu Johor, 57, selepas bumbung gentian tanah liat serta siling di ruang tamu rumahnya runtuh akibat ribut dan puting beliung di Kampung Merbau Tua, Lubuk Merbau di sini, kelmarin.

Dia yang juga anggota polis berkata, rumahnya dan adiknya yang bersebelahan terjejas apabila bumbung bangsal berteduh bersebelahan diterbangkan angin hingga menghempap bumbung rumahnya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, kejadian menyebabkan atap zink kedai makan berhampiran remuk teruk manakala khemah kanopi milik perniagaan diusahakan menantunya musnah.

“Sejak berbelas tahun tinggal di sini, ini kali pertama kejadian ribut disusuli angin puting beliung berlaku di kawasan ini walaupun sebelum ini pernah beberapa kali dilanda angin kencang tetapi tidak mengakibatkan kerosakan teruk.

“Mujur ketika kejadian saya dan isteri berada di Gerik manakala belum pulang dari tempat kerja. Menantu perempuan serta cucu berusia tiga tahun berada di gerai diusahakan hanya di depan rumah kami,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, kediamannya yang berhampiran sawah padi meningkatkan risiko dilanda tiupan angin kencang.

“Saya kerugian RM7,000 untuk membaik pulih namun mendapat perhatian ketua kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 4:30 AM
Digital NSTP Subscribe