Mohan dan isterinya Vishini, yang didakwa hilang dipercayai diculik sejak Sabtu lalu. FOTO/ Saifullizan tamadi
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

SEPASANG suami isteri hilang misteri dipercayai diculik sewaktu dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Mangsa, V Mohan, 35, dan isterinya P Vishini, 28, gagal dikesan oleh keluarga sejak empat hari lalu selepas keluar membeli barang keperluan perniagaan mereka di pasar terbabit.

Bapa saudara mangsa, K Kalisvaran, 48, berkata, kali terakhir dia bertemu pasangan terbabit sewaktu berada di kedai makan milik mangsa di Jalan Taming Satu, Balakong Kajang, kira-kira 3 pagi, hari sama.

Katanya, selepas premis perniagaan ditutup pasangan terbabit memaklumkan mahu pergi membeli barangan keperluan perniagaan di Pasar Borong Selayang.

“Mereka pergi ke pasar borong berkenaan dengan menaiki van model Nissan Venette dan selepas itu mereka gagal dihubungi sehingga sekarang.

“Sebelum ini, Mohan ada memaklumkan kepada keluarga mereka diekori oleh individu tidak dikenali dan menerima ugutan menerusi panggilan telefon.

“Kami bimbangkan keselamatan mereka kerana sudah empat hari menghilangkan diri tanpa sebatang berita dan kami syaki mereka diculik,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini.

Menurutnya, pasangan terbabit turut meninggalkan dua anak mereka iaitu Nushindhiran, 10, dan Shivaanii, 6.

“Dua anak mereka selamat kerana mereka ditinggalkan di bawah jagaan emak saudaranya sewaktu pasangan terbabit berniaga.

“Kami harap pihak polis dapat menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan pasangan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 2:56 PM