Anggota Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat memeriksa kereta yang terbakar. (Gambar kecil) Nor Azman. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


“INI salam perpisahan kot.” Itu reaksi Penolong Kanan Pengarah Kastam (Bahagian GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Nor Azman Mat Jini, 59, mengulas mengenai kebakaran empat kenderaan milik ahli keluarganya di Presint 11, Putrajaya, hari ini.

Nor Azman berkata, dia yang akan bersara April ini masih trauma dengan kejadian itu namun bersyukur kerana ia tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Menurutnya, dia dan isteri yang sedang tidur dikejutkan jiran yang memaklumkan terdapat bunyi letupan dari kediaman.

"Saya langsung tidak sedar kejadian berlaku. Selepas jiran beritahu ada letupan dan api saya terus meminta isteri, anak dan menantu keluar melalui pintu belakang rumah.

"Di bahagian depan rumah keadaan api sangat marak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara isterinya, Noor Hayati Khairuddin, 57, berkata, mereka sekeluarga panik dengan kejadian itu dan keadaan kelam kabut memandangkan api sangat marak selain bunyi letupan tidak berhenti.

"Suami turun ke bawah untuk buka pintu depan tetapi gagal kerana api sudah masuk ke bahagian depan.

"Dia kemudian mengambil kunci pintu belakang sebelum meminta kami semua keluar menyelamatkan diri dengan meredah pokok yang dijadikan pagar rumah.

"Saya hanya sempat mencapai beg tangan kerana banyak dokumen penting di dalamnya dan keluar dari rumah sehelai sepinggang," katanya.

Menurutnya, suaminya tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum ini.

"Bimbang juga kalau kejadian ini ada unsur jenayah. Saya pun tidak tahu nak cakap macam mana tetapi kami faham risiko yang kami bakal hadapi," katanya.

Dia berkata, terdapat juga kesan ketukan pada besi tingkap bahagian bawah yang menunjukkan kemungkinan ada cubaan untuk pecah masuk ke dalam rumah.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, dua kenderaan iaitu Perodua MyVi dan Mercedes Benz milik anak perempuan dan isteri mangsa musnah sepenuhnya, manakala dua lagi iaitu Honda CRV milik mangsa dan Proton Saga milik menantu mangsa terbakar di bahagian depan.

Berita berkaitan

4 kenderaan pegawai kanan Kastam dibakar?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 11:06 PM