HM Digital

Sungai Petani: Seorang lelaki berusia 40-an yang mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di tapak Fun Fair Taman Ria, Sungai Petani, Sabtu lalu direman tujuh hari bermula semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Suspek yang memakai baju-T kuning tiba di Mahkamah Majistret Sungai Petani jam 9.35 pagi dengan kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, suspek ditahan di Sungai Petani jam 3.10 petang kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) kerana cedera di muka dipercayai dipukul.


suspek(kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani bagi mendapatkan perintah reman, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Portal berita Harian Metro kelmarin melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu apabila video perbuatan tidak senonohnya tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Beliau berkata, susulan video yang tular di media sosial, pihaknya menerima dua laporan polis yang dibuat seorang pegawai polis dan ibu mangsa sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:43 AM