Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Nilai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa 567,905 premis dan menghasilkan 9,060 kes membabitkan rampasan RM31.02 juta di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Datuk Roslan Mahayudin berkata, kejayaan terbesar tahun lalu adalah menumpaskan skim penipuan pelaburan dengan kerjasama Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara, Bank Negara dan polis.

Menurutnya, 10 akaun berjumlah RM214.46 juta dibekukan selain 92 akaun RM133.1 juta disita aset alih.


ROSLAN melupuskan barang rampasan sebagai simbolik pada Program Pelupusan Barang Rampasan di Pusat Penyimpanan Eksibit KPDNKK.

“Sepanjang tahun lalu, KPDNKK melaksanakan Op Gasak 2.0 dan Op Goreng 2.0 yang bertujuan melumpuhkan aktiviti penyeludupan minyak masak dan tong gas petroleum cecair.

“KPDNKK juga menyiasat 18,129 kes berhubung penguatkuasaan timbang dan sukat, sewa beli, jualan langsung, skim piramid, makanan halal dan penipuan pembelian barang,” katanya pada sidang media selepas Program Pelupusan Barang Rampasan di Pusat Penyimpanan Eksibit KPDNKK di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:43 AM