Seramai 620 pengguna Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) diperiksa dalam Ops Bersepadu Polis Trafik Johor, malam tadi. FOTO Mohd Azren Jamaludin


SEORANG peniaga yang mempunyai 78 saman tertunggak sejak 13 tahun lalu antara 620 pengguna Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) yang diperiksa dalam Ops Bersepadu Polis Trafik Johor, malam tadi.

Ops Bersepadu selama tiga jam bermula 9 malam itu diadakan di laluan keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dari Singapura untuk mengesan pesalah lalu lintas dan memberi didikan kepada mereka supaya mematuhi undang-undang negara ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Johor, Superintendan Razak Md Said berkata, Ops Bersepadu dengan kekuatan 26 pegawai serta anggota KJSPT dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, antara yang dikesan termasuklah peniaga sayur lelaki yang memandu van mempunyai 78 saman tertunggak kebanyakannya saman menghalang kenderaan dan melebihi had laju sejak 2005.

"Dalam kes ini, kami memperbaharui saman lelaki berusia 35 tahun itu dan dia diberikan tempoh tiga bulan untuk datang ke pejabat trafik untuk menyelesaikannya serta menetapkan 25 Mac ini untuk kes dibawa ke mahkamah.

"Selain itu, kami berjaya mengesan seorang lelaki berusia 38 tahun yang mempunyai 44 saman tertunggak, kebanyakannya berkaitan langgar lampu isyarat, melebihi had laju dan halang lalu lintas.

“€œDalam operasi sama, kami memeriksa 600 kenderaan, 620 orang dan mengeluarkan 156 saman membabitkan 171 kesalahan, manakala JAS mengeluarkan 13 sijil ujian pelepasan bunyi bising dan JPJ mengeluarkan 75 saman," katanya pada sidang media selepas tamat operasi, malam tadi.

Menurutnya, saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan membabitkan ubah suai ekzos, nombor plat, lesen memandu, ketiadaan cukai jalan dan insurans, tidak menggunakan tali pinggang, memandu melebihi had laju, menghalang laluan dan memperbaharui saman lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 1:45 PM