NORAINI melancarkan Permohonan Permit Bazar Ramadan MPSJ 2018, semalam.
HM Digital

Subang Jaya: Bagi memberi kemudahan serta menjimatkan masa peniaga, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif menyediakan platform permohonan permit bazar Ramadan secara dalam talian bermula 1 Februari hingga 18 Februari ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, peniaga kini boleh melakukan semua urusan permohonan sepenuhnya secara dalam talian termasuk mendaftar, memilih, memuat naik dokumen sokongan serta proses pembayaran.

“Hanya permohonan secara dalam talian saja dibenarkan di mana pemohon perlu mendaftar dan melayari www.mpsj.gov.my untuk mendapatkan permit bazar Ramadan.

“Pemohon juga perlu memastikan tiada tunggakan kompaun bagi melincinkan proses permohonan permit ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Permohonan Permit Bazar Ramadan MPSJ 2018, di sini, semalam.

Noraini berkata, MPSJ turut menyediakan terminal komputer bersama bantuan pegawai di ibu pejabat MPSJ sekiranya terdapat sebarang masalah berhubung permohonan permit berkenaan.

“Pada tahun ini, MPSJ memperuntukkan sebanyak 15 lokasi bazar meliputi 1,375 petak bazar Ramadan di bawah pentadbiran MPSJ.

“Dengan pelancaran permit secara dalam talian ini, ia diharap dapat memberi kemudahan kepada semua peniaga untuk mendapatkan permit menjelang Ramadan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:06 AM