Raja Noraina Raja Rahim


BUDAK perempuan berusia tiga tahun lemas selepas terjatuh ke dalam anak sungai di Kampung Sungai Mampan, Rembau, hari ini.

Mangsa dikatakan sedang bermain, dilihat terjatuh ke dalam anak sungai sedalam 0.2 meter itu oleh jiran sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Mohd Fuad Majid berkata, jiran terbabit memaklumkan kejadian kepada bapa mangsa.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan lapan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan, pada 4.52 petang.

“Apabila bomba tiba, mangsa sudah ditemui bapanya kira-kira enam meter dari lokasi mangsa terjatuh, pada 5.27 petang. Ketika itu keadaan mangsa lemah dan sudah tidak sedarkan diri.

“Bomba memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum diserahkan kepada ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk dibawa ke Hospital Tampin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan hospital berkenaan.

Anggota APM memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Tampin. Gambar Ihsan bomba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 7:51 PM