Ramli ingatkan mereka yang menerima kiriman Facebook dan whatsApp mengenai isu yang tidak benar ini tidak menyebarkannya.
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


POLIS Sabah menafikan tular menerusi laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp berhubung kejadian dua kanak-kanak perempuan ditemui dalam keadaan kepala, tangan dan kaki dipotong manakala organ di dalam badan mereka hilang.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, mayat kedua-dua kanak-kanak terbabit kononnya ditemui penduduk kampung di Kampung Longgom Kudat dan dimuat naik menerusi laman sosial sehingga tular.

"Saya menafikan maklumat berkenaan dan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan menggusarkan orang ramai kerana ia menyalahi undang-undang.

"Polis sedang menjalankan siasatan ke atas penyebaran maklumat palsu ini dan akan mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Ramli berkata, bagi mereka yang menerima kiriman Facebook dan whatsApp mengenai isu yang tidak benar ini diminta tidak menyebarkannya.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyebarkan khabar angin dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

"Jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:42 PM