TERTUDUH Mohd Khairulnizam Shaari, 32, diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencekik leher dan menumbuk muka isterinya. Foto Zuhairi Zuber

Nurul Fhatihah Zakinan

[email protected]

SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas tuduhan mencekik leher dan menumbuk isterinya dalam kejadian 22 Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Khairulnizam Shaari, 32, pekerja sebuah syarikat swasta bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khairulnizam dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan tangan mencekik leher dan menumbuk mulut isterinya berusia 28 tahun di sebuah rumah di Bukit Katil, 7 pagi, 22 Januari lalu. 

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM4,000. 

Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban, mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagaimanapun tertuduh diwakili peguam bela Ishak Kari, merayu jumlah direndahkan berikutan menanggung ibu bapa, isteri dan dua anak berusia empat tahun dan 16 bulan.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Analia membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,800 dan menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 2:08 PM