Petikan video pergaduhan pelajar yang tular.
Petikan video pergaduhan pelajar yang tular.
Hazsyah Abdul Rahman

POLIS Sandakan sudah mengenal pasti lapan pelajar yang terbabit dalam pergaduhan berhampiran Piazza Harbour Square, dekat Sandakan, yang sebelum ini videonya tular di laman sosial Facebook.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu pada pagi tadi.

"Hasil siasatan awal, polis sudah mengenalpasti lapan pelajar dari dua buah sekolah menengah di daerah ini yang terbabit dalam pergaduhan itu.

"Pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah seorang pelajar yang memuat naik gambar seorang pelajar melalui aplikasi WeChat lalu berlaku ejek-mengejek.

"Sehinggalah berlaku pergaduhan seperti dalam video berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari, Jumaat lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Fuad berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pagi tadi, portal berita Harian Metro melaporkan sekumpulan remaja lelaki bergaduh di tengah jalan raya sebelum rakaman video pergaduhan mereka dirakam sebelum tular di Facebook, sejak semalam.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 10:43 PM