IDRIS (kiri) bersama Mohammad Faiz (dua dari kiri) beramah mesra dengan penerima anugerah, Wan Nor Mafudah Wan Yusof (kanan) dan Siti Nadiah Sh Salleh (dua dari kanan), semalam.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Kekurangan golongan Bumiputera dalam bidang perakaunan profesional dijangka dapat dipertingkatkan hingga ke 30 peratus menjelang tahun 2030.

Sasaran itu dijangka mampu dicapai menerusi usaha kerajaan dan Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) melatih lebih ramai golongan Bumiputera dalam bidang berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, setakat ini hanya 1,800 orang atau lapan peratus daripada jumlah keseluruhan akauntan profesional tempatan terdiri daripada golongan berkenaan.

“Usaha berterusan MyPAC sejak tiga tahun lalu mula membuahkan hasil apabila melahirkan lebih 110 graduan yang memproleh kelulusan daripada Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan ada lebih 2,000 lagi penuntut bakal memiliki ACCA.

“Ini formula terbaik bagi memastikan jumlah Bumiputera dalam perakaunan profesional dapat dipertingkatkan hingga 20 atau 30 peratus menjelang 2030,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah MyPAC di Kolej INTEC di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi MyPAC Datuk Mohammad Faiz Azmi, Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera Raja Azura Raja Mahayuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC Datuk Zaiton Mohd Hassan.

Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan sijil kelulusan ACCA kepada 60 penuntut yang menamatkan peperiksaan berkenaan dengan keputusan cemerlang.

Sementara itu, Zaiton berkata, bidang perakaunan profesional masih kurang diketahui golongan Bumiputera hingga menyebabkan ia tidak menarik minat mereka untuk dijadikan karier pada masa depan.

Namun, menurutnya, usaha pihaknya turun padang ke seluruh negara untuk menarik penyertaan golongan itu bagaimanapun mula membuahkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 4:54 AM