BOMBA mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas di Air Terjun Lubuk Degong, Bidor hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


PENUNTUT lelaki Kolej Profesional Mara di Seri Iskandar ditemui lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Air Terjun Lubuk Degong, Bidor, hari ini.

Difahamkan, mangsa Wan Muhamad Izzad Wan Razani, 19, lemas selepas terjun di kawasan lubuk air terjun berkenaan 1.05 tengah hari sebelum mayatnya ditemui 2.05 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama 10 orang rakannya ke kawasan itu untuk berkelah dan mandi sebelum mangsa dipercayai terjun ke kawasan lubuk yang dalam.

Katanya, sebaik terjun mangsa dilihat terkapai-kapai oleh rakan-rakannya sebelum tenggelam dan hilang dari pandangan menyebabkan mereka mendapatkan bantuan.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa kemudiannya dijalankan oleh polis dan bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Mayat mangsa kemudiannya ditemui 2.05 petang di lokasi sama dalam keadaan tersangkut pada batu di dalam air dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Keluarga mangsa yang berada di Terengganu sudah dimaklumkan dan kes diklasifikasikan mati mengejut," katanya.

Som Sak berkata, mangsa adalah anak kepada Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 6, Wakaf Tapai, Marang iaitu Superintendan Wan Razani Wan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 5:24 PM