Wan Muhammad Ezani (kiri) melihat kombinasi serentak tiga fenomena bulan, super moon, bulan biru, gerhana bulan, sekali dalam 265 tahun bersama dengan jemaah di pekarangan Masjid Putera Taman SBJ, Pasir Pekan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


TERUJA! Itu yang dirasai Wan Ahmad Zuhair Wan Yusoff, 16, apabila berpeluang menyaksikan kombinasi serentak tiga fenomena bulan iaitu 'supermoon', bulan biru dan gerhana bulan di pekarangan Masjid Putra Taman SBJ, Tumpat, hari ini.

Dia antara 1,000 pengunjung yang berkumpul di situ bermula pada 7.48 malam hingga 11.11 malam bagi menyaksikan fenomena berlaku sekali bagi setiap 2,380 bulan penuh atau dalam tempoh 265 tahun lagi.

Ahmad Zuhair yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah berkata, sejak diberitahu oleh gurunya, seminggu lalu, dia tidak sabar menanti saat yang bersejarah itu.

Katanya, kebiasaanya dia hanya menonton fenomena terbabit menerusi laman Youtube.

"Sukar digambarkan dengan kata-kata apabila saya berjaya melihat sendiri fenomena bulan ini dan tidak akan melupakan pengalaman ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Rakannya, Muhammad Fahim Mohd Nasir, 16, berkata, fenomena yang berlaku kali ini membuktikan apa yang diceritakan orang ketika kecil adalah salah.

"Ketika kecil dulu, orang tua di kampung beritahu jangan tuding jari jika gerhana berlaku kerana jari akan kudung.

"Namun hari ini, saya cuba tuding jari dan Alhamdulillah masih dalam keadaan baik," katanya secara berseloroh.

Sementara itu, Pegawai Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Kelantan, Wan Muhammad Ezani Wan Abdullah berkata, pihaknya menyediakan lima teleskop bagi melihat fenomena bulan itu.

"Ia merupakan detik bersejarah bagi kita di negara ini dan orang ramai jangan lepaskan peluang untuk melihat fenomena ini dengan lebih dekat.

"Hari ini kita sediakan lima teleskop dari jenis Celestron, Meade lx200 dan Skywatcher untuk orang ramai merasai sendiri melihat fenomena yang jarang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 9:42 PM