Fardy Bungga


AKSI 'gila' lelaki memanjat bumbung kereta yang sedang bergerak akibat pengaruh dadah membongkar kegiatan jenayah curi kenderaan yang dilakukannya, Ahad lalu.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, lelaki berusia 36 tahun itu menggemparkan pengguna jalan raya di Bulatan Jalan Pasir, berhampiran Plaza Likas di Kota Kinabalu, apabila tiba-tiba keluar dari kereta sebelum mengganggu lalu lintas.

Lelaki terbabit kemudiannya menahan Perodua MyVi dan terus memanjat bumbung kenderaan berkenaan serta meronta-ronta menyebabkan beberapa pengguna jalan raya lain cuba menenangkannya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit kemudiannya cuba bertindak agresif sebelum lari ke arah bertentangan dan sekali lagi mengganggu lalulintas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu M Chandra berkata, suspek ditahan oleh orang ramai di tempat kejadian sebelum menghubungi polis untuk bantuan segera.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek berkelakuan sedemikian akibat pengaruh dadah dan mengaku menagih dadah sebelum kejadian.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya jelas membuktikan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Dalam soal siasat yang dijalankan, suspek kemudiannya mengaku terbabit dalam kes kecurian Toyota Hilux bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas di kawasan sekitar Karamunsing kira-kira 10 pagi hari yang sama," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya, suspek yang juga warga tempatan itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pernah dipenjara di Simpang Rengam, Johor.

Katanya, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana jenayah curi kenderaan.

"Jika disabit kesalahan, suspek boleh dipenjara selama tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:19 PM
LELAKI yang memanjat bumbung kereta didapati di bawah pengaruh dadah. FOTO ihsan Polis