TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol remaja perempuan.
HM Digital

Melaka: Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, semalam, atas tiga pertuduhan merogol remaja perempuan tahun lalu.

Tertuduh Mohamad Dol Fadir Fauzi, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua tiga pertuduhan keatasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke tiga Mohamad Dol Fadir, didakwa merogol seorang remaja perempuan ketika itu berusia 14 tahun 5 bulan di sebuah rumah di Sungai Rambai, Jasin, antara jam 11.30 malam hingga 12 tengah malam pada awal Februari sehingga akhir Jun tahun lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi yang mengendalikan kan kes terbabit, mencadangkan agar mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Namun Siti Ruvinna berkata, keputusan itu bergantung kepada budi bicara mahkamah dan mencadangkan bayaran sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan jika jaminan mahu ditawarkan kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan kepada mahkamah tiada individu yang akan menjaminnya, Meor Sulaiman kemudian menetapkan 1 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:13 AM