DUA warga Nepal yang menerima rawatan akibat kopi campuran segera dijangka dibenarkan pulang, hari ini. FOTO Danial Saad. Laporan portal berita Harian Metro pada Selasa lalu (gambar kecil).
DUA warga Nepal yang menerima rawatan akibat kopi campuran segera dijangka dibenarkan pulang, hari ini. FOTO Danial Saad. Laporan portal berita Harian Metro pada Selasa lalu (gambar kecil).
Siti Sofia Md Nasir


RUMUSAN awal Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mendapati kopi campuran segera yang dipercayai menjadi punca lima individu mengalami gejala letih dan lemah teruk menepati syarat ditetapkan.

Pengarahnya Dr Wan Mansor Hamzah berkata, pihaknya sudah melakukan lawatan ke kilang itu sejurus menerima laporan berhubung tiga individu yang dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas minum kopi berkenaan.

Katanya, kilang yang terletak di Seberang Perai dan mula beroperasi sejak 2009 itu menepati semua syarat yang ditetapkan Jabatan Kesihatan negeri termasuk mempunyai pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP).

"Kami tidak menemui sebarang perkara yang tidak baik di kilang berkenaan. Semuanya mengikuti syarat yang ditetapkan Jabatan Kesihatan negeri.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan ada unsur 'campuran luar' yang dilakukan di bahagian pengedaran. Perkara itu masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan negeri mengesahkan lima individu mengalami gejala letih dan lemah teruk selepas dipercayai minum sejenis kopi campuran segera.

Lima individu itu termasuk dua pengawal keselamatan warga Nepal di Pulau Tikus, Georgetown yang mengalami pening kepala keterlaluan dan pitam pada Selasa lalu sebelum dikejarkan ke HPP oleh rakan sekerja mereka.

Sementara itu, Dr Wan Mansor berkata, dua warga Nepal terbabit dijangka akan dibenarkan pulang hari ini.

Katanya, sampel darah mangsa dan sampel kopi berkenaan sudah dihantar ke makmal lain yang lebih canggih bagi mempercepatkan hasil analisis.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan baharu membabitkan mangsa lain. Manakala, dua warga Nepal yang menerima rawatan sejak Selasa lalu akan dibenarkan pulang hari ini.

"Hasil analisis juga mungkin akan diumumkan Kementerian Kesihatan dalam tempoh terdekat," katanya.

Berita berkaitan

Kenal pasti kandungan kopi campuran [METROTV]

Penangan kopi campuran

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 3:43 PM